Monday, February 23, 2009

"Terbang Tinggi"


Setiap orang mempunyai cita-cita dan impian dalam diri. Si dia akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai impian tersebut. Jatuh bangun adalah asam garam dalam perjalanan mengejar impian. Seseorang usahawan akan menempuhi onak dan liku dalam dunia perniagaannya. Jatuh bangun dalam bidang perniagaan akan menjadikannya seorang usahawan yang matang dan berjaya. Seorang pelajar pula akan menempuhi cabaran dan dugaan dalam menyusuri perjalanan menuntu ilmu. Kegagalan dan kejayaan adalah warna-warni dalam dunia seorang pelajar.

Ketabahan dan kecekalan serta tidak kenal akan erti putus asa adalah rahsia dalam usaha mengejar impian. Jati diri dan semangat yang lemah akan membuatkan seseorang itu jatuh dan tidak punya kekuatan untuk bangun kembali
Begitulah juga dalam dunia seorang da'ie yang menyampaikan mesej-mesej kebenaran di dunia ini. Cacian, makian, adalah asam garam dalam perjalanannya. Hanya "sabar" adalah kunci dalam meneruskan perjalanan itu. Bukankah itu yang dipraktikkan oleh Junjungan besar kita Muhammad s.a.w. Rujuklah kembali kepada sirah nabi kita dalam mencari panduan dan kekuatan dalam menyampaikan mesej kebenaran. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.
Kejarlah impian kita dengan bersungguh-sungguh. Mengumpulkan seluruh tenaga dan daya bagi memastikan ianya tercapai. Tetapi ingat dalam kita berusaha jangan lupa berdoa kerana hanya Dialah yang mampu memberikan kekuatan dan ingatlah sebaik mana perancangan kita, peracangan Allah adalah yang terbaik.

Pedulikan kata-kata mereka. Jadikan ianya satu pencetus semangat dalam diri kita. Jadilah diri kita sendiri meskipun berbeza dengan orang lain.
Akhir kalam, hayatilah lagu "terbang tinggi" ini.










"Terbanglah setinggi mana yang kita inginkan, kerana langit Allah ini luas.."










Wednesday, February 18, 2009

"Hobi"

Membaca merupakan salah satu hobi saya. Daripada daripada novel, majalah hingga akhbar-akhbar. Bagi saya membaca mampu melatih minda kita untuk menjadi lebih kritis dan analisis. Tapi ingat, ianya bergantung kapada input dan isi yang terdapat dalam pembacaan kita itu sendiri.

Pada mulanya saya bukanlah peminat novel. Namun setelah pertama kali saya membaca novel “KOMBAT 1511 H”, minat terhadap novel terus mendalam. Kisah yang terdapat dalam “kombat 1511H” sungguh menakjubkan. Saya menjadi asyik dari satu halaman ke satu halaman. Penulis yang baik adalah penulis yang mampu menghasilkan karya yang mampu menimbulkan sifat ingin tahu dalam diri pembacanya. Tahniah kepada saudara Faisal Tehrani.

satu karya yang hebat, merungkai sejarah konspirasi pembunuhan Sultan yang soleh yang belum pernah kita ketahui. Anda wajib mendapatkannya…








Pengembaraan seorang pemuda yang menakjubkan….














tiga siri kesemuanya….


“Detektif Indigo” merupakan satu lagi karya yang hebat daripada saudara Faisal. Karya tersebut membuka mata saya akan kewujudan kanak-kanak indigo. Mereka mempunyai IQ yang luar biasa berbeza dengan orang lain. Kewujudan Maktab Rendah Indigo di bawah kelolaan OIC dalam kisah tersebut seolah-olah ianya satu realiti.Kehebatan watak kanak-kanak yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains forensik betul-betul mengujakan saya. Alangkah baiknya jika apa yang diceritakan dalam novel tersebut dapat kita lihat pada hari ini dan bukanlah hanya satu rekaan semata-mata.

Kelahiran karya-karya sains fiksyen merupakan salah satu medium yang mampu menimbulkan minat terhadap dunia sains dalam diri generasi muda di negara kita. Impian bagi melahirkan ramai sainstis akan menjadi sukar untuk dicapai sekiranya tidak dipupuk sejak kecil lagi. Karya-karya seperti ini mampu melatih minda anak muda kita supaya mempunyai sifat analisis dan ingin tahu dalam diri mereka.

Berdasarkan pemerhatian saya, amat jarang untuk menemui novel-novel tempatan yang mempunyai karya-karya seperti itu berbanding novel-novel dari luar. Apa yang biasa ditemui anak-anak muda kita akan lebih cenderung membaca novel-novel cinta. Tidaklah saya katakan kesemuanya. Tetapi cuba kita lihat di kedai-kedai buku besar seperti MPH, Kinokuniya, Borders jarang untuk kita temui generasi muda di sudut-sudut yang menempatkan karya-karya sastera. Amatlah jarang untuk kita temui mereka di sudut yang menempatkan novel-novel pemenang hadiah sastera berbanding sudut yang menempatkan novel-novel cinta. Sedangkan kualiti karya-karya tersebut adalah lebih baik dan bermutu.
















Baru sahaja dibeli dari Kinokuniya.
Menarik, tetapi entah bila mampu dikhatamkan


Bacalah karya-karya yang mampu membuatkan kita berfikir dan bukannya berkhayal !!!

Monday, February 16, 2009

Pengembaraan bermula...

Pengembaraan saya dalam melibatkan aktiviti blog ini baru sahaja bermula. Sebelum ini saya hanya mampu menjadi "anonymous reader" apabila melawat blog-blog yang saya minati. Tidak pernah meberi komen sekalipun. Tapi jauh sudut di hati ini memang ada hasrat untuk mempunyai blog sendiri. Ehm..mungkin semangat yang dikumpul masih belum cukup. namun akhirnya tercipta juga blog saya sendiri. Langkah pertama dalam dunia pengembaraan saya.





Berjalan, melihat, dan berfikir sentiasa diserap dalam diri ini. Merantau dan berjalan melihat gelagat manusia di sekeliling. Mencambah pengalaman dalam hidup. Berfikir dan mencetuskan sifat ingin tahu dalam diri. Bukan berjalan dan melihat dengan otak kosong. Kebaikan dijadikan pedoman, keburukan dijadikan sempadan. Seorang advencer perlu melihat sesuatu perkara dengan mendalam, mencari maksud yang tersirat dalam memahami sesuatu perkara. Sentiasalah mencetuskan sifat ingin tahu dalam diri agar kita menjadi manusia yang mahu berfikir.





"Advencer,..pengembaraanmu baru sahaja bermula...."